Puteri di hati
This is a post about my first child, Fatimah Yasmin, when she arrived in our lives 5 years ago & brighten every single day of our lives ever since...
Just a reminiscence of the day that we became parents :)
3 Ogos 2003 adalah tarikh keramat dalam hidupku. Hari di mana diriku dan putera hatiku, Mohd Hafiz Osman selamat diijab kabulkan, dengan berwalikan bapaku sendiri. Perkenalan kami di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1998 sebagai rakan sekuliah, berakhir di jinjang pelamin. Pada hari itu, kurasa akulah wanita paling bertuah di dunia, dan saat pertama kali suamiku mengucup dahiku selepas dinikahkan, aku merasa seperti berada di syurga dunia. Pertama kali bertentang mata, degupan jantungku seakan terhenti. Benarlah kata orang, bercinta selepas bernikah jauh lebih indah.
Sebulan selepas bernikah, kami terpaksa berpisah lantaran pengajian yang belum selesai. Aku berlepas ke Ireland, manakala suamiku pulang ke Yogyakarta, Indonesia untuk menyambung pengajian masing-masing. Begitulah kehidupan kami selama dua tahun, memendam rasa, menyulam rindu tinggal berjauhan, dipisahkan oleh 3 benua. Hanya panggilan telefon, sms dan email menghubungkan kami. Kami hanya bertemu setiap 3 bulan, sama ada aku ke Indonesia atau suamiku ke Ireland. Ketika aku menghadapi peperiksaan tahun akhir yang bakal menentukan jika aku layak bergelar doktor, suamiku mengambil cuti dari pengajiannya selama sebulan untuk menemani isteri tercinta.
Saat paling sukar adalah ketika usia pernikahan kami melangkah ke tahun pertama, aku disahkan menghidap endometriosis iaitu tisu rahim yang berada di luar rongga rahim. Aku diserang rasa sakit perut yang amat sangat ketika sedang bertugas di hospital. Ultrasound yang dijalankan mengesahkan aku mengalami pendarahan di dalam sista di kedua-dua belah ovariku. Walaupun selama ini aku memang sering mengalami senggugut yang teruk, tidak pernah aku endahkan kerana menganggap ia hanyalah sakit biasa. Berita berkenaan diagnosis itu bagiku bak halilintar memecah bumi. Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu, bersendirian di bumi orang, disahkan menghidap penyakit yang bisa menjejaskan masa depanku. Doktor sendiri tidak dapat memastikan jika ovariku masih mampu berfungsi dengan baik. Hanya Allah yang Maha Mengetahui jika aku masih mampu memberikan zuriat buat suamiku.
Aku dijadualkan untuk menjalani pembedahan kecil laparoskopi untuk membuang sista-sista tersebut dan membersihkan rongga pelvisku daripada endometriosis tersebut pada 31 Julai 2004. Suamiku tidak dapat datang menemaniku kerana sedang menghadapi peperiksaan akhir dalam subjek pediatrik. Ibu bapaku hanya mampu berdoa kerana tidak mampu untuk datang ke Ireland untuk berada di sisiku melalui saat-saat getir itu. Teman-temanku hampir semua sudah pulang ke Malaysia untuk cuti musim panas.
Pagi itu, aku melangkah sendirian ke hospital untuk menjalani pembedahan. Tidak sedikitpun rasa takut dalam hatiku, kerana aku yakin Allah sentiasa bersamaku. Pembedahan yang sepatutnya hanya mengambil masa satu jam, berlarutan hingga dua jam kerana salah satu sista pada ovari kiriku sudah pecah. Pembedahan besar terpaksa dijalankan. Selepas pembedahan itu, aku mengalami pendarahan yang berlanjutan hingga terpaksa ditahan di ruang “recovery” selama dua jam. Malam selepas pembedahan itu, aku diserang asthma yang teruk, hingga memerlukan perhatian dua orang pakar, iaitu pakar anaetesi dan pakar perubatan. Rupa-rupanya aku mengalami reaksi alahan terhadap bahan ubat bius yang digunakan hari itu.
Alhamdulillah selepas seminggu aku di hospital, aku dibenarkan pulang. Tiga minggu kemudian barulah suamiku dapat datang ke Ireland untuk menemaniku. Selepas pembedahan itu, doktor menasihatiku agar cuba untuk hamil segera, kerana jika aku tidak hamil dalam masa setahun selepas pembedahan itu, penyakit endometriosis itu boleh kembali.
Setahun berlalu, aku dan suamiku masih lagi tinggal berjauhan. Dalam waktu yang sama kami terus mencuba untuk mendapatkan cahaya mata. Perpisahan kami berakhir pada 5 Julai 2005, apabila aku pulang ke Malaysia, selepas 6 tahun di perantauan. Sebelum aku pulang ke tanahair, aku dan suamiku sempat pergi melancong ke tujuh buah negara di Eropah, sebagai bulan madu kami yang terakhir di luar negara sebelum pulang ke Malaysia buat selamanya.
Sekembalinya kami ke tanahair, kami menziarahi kaum keluarga yang sudah lama tidak kami temui. Seperti biasa, pertanyaan yang akan terpacul di mulut mereka apabila berjumpa aku dan suami, “bila nak ada baby? Kahwin dah lama”. Pada mulanya boleh kuterima, lama-kelamaan aku mula terasa tekanannya. Sebenarnya setiap kali aku pulang ke Malaysia, sejak kami mula bernikah lagi, soalan itulah yang sering kuterima. Namun tekanan itu lebih terasa apabila kami berada di tempat sendiri. Sebelum ini, aku sering mengelak dari menghadiri majlis-majlis dan kenduri kendara yang dihadiri saudara maraku, bagi mengelakkan tekanan itu. Tambahan pula aku jarang pulang, jadi tekanan itu masih minimal. Apabila pulang, saudara maraku sering membanding-banding aku dengan sepupu-sepupuku yang sudah beranak dua tiga orang. Kadang kala mengalir juga airmataku, tersinggung dengan sikap orang sekeliling yang kurang sensitif. Alhamdulillah Mamaku dan ibu mertuaku amat memahami, dan sering memujukku, dengan berkata, sepupu-sepupuku tidak belajar tinggi, tambahan lagi aku baru menjalani pembedahan. Suamiku juga tidak pernah memberikan tekanan kepadaku. Malah dia sentiasa memberikan keyakinan kepadaku, bahawa suatu masa nanti aku pasti mampu memberikan zuriat buatnya.
Pada pertengahan Julai itu, kami berlepas ke Yogyakarta. Aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti panjang untuk menemani suamiku menyelesaikan pengajiannya dalam bidang perubatan. Di samping itu, boleh juga aku berehat selepas menyelesaikan housemanshipku di Ireland yang cukup melelahkan.
Mulai Julai 2005, bermulalah lebaran baru dalam hidupku sebagai surirumah sepenuh masa. Bahagia rasanya dapat menyambut kepulangan suami setiap kali dia pulang dari hospital, memasak makanan kegemarannya dan menjaganya dengan sepenuh perhatian. Terasa sedikit sebanyak dapat kutebus ketiadaanku di sisinya selama dua tahun sebelum ini.
Alhamdulillah selepas sebulan kami tinggal sebumbung, aku hamil. Sungguh tidak kupercaya ketika ujian kehamilan itu positif, hingga kubeli dua lagi ujian yang sama untuk kuuji tiga hari berturut-turut. Alhamdulillah ketiga-tiganya positif. Kusampaikan berita gembira itu kepada suamiku, yang ketika itu baru sembuh dari demam kepialu, yang memang biasa terjadi di Indonesia. Kubersyukur ke hadratNya, kerana tidak pernah kumenyangka aku akan dapat melalui saat-saat bahagia seperti itu. Malangnya kegembiraan kami hanya bertahan selama seminggu. Maghrib 20 Ogos 2005, aku mulai mengalami pendarahan. Panik, kuhubungi kakak iparku di Malaysia, yang juga pernah mengalami keguguran. Selepas mendapat nasihat darinya, aku berehat dan berdoa agar aku tidak keguguran. Kupinta pada kakak iparku agar merahsiakan hal ini dari Mamaku agar dia tidak risau, walaupun jauh di sudut hatiku, aku amat ingin Mamaku berada di sisiku saat itu. Ternyata naluri seorang ibu tidak mungkin dikaburi. Sepuluh minit selepas aku hubungi kakak iparku, Mama menelefon bertanya khabar. Katanya hatinya tidak tenang sejak petang tadi. Mendengar suara Mama tersayang, air mataku tidak dapat dibendung lagi, kuceritakan segalanya pada Mama. Kupohon jua agar Mama mendoakan kandunganku boleh diselamatkan. Sepanjang malam aku tidak lena tidur, berdoa sepenuh hati agar Allah menyelamat anak kami.Walaupun baru berusia lima minggu, rasa sayang sudah mula terbit di hatiku kepada anak yang belum bernama ini.
Menjelang keesokan hari, pendarahanku semakin parah walaupun aku berehat di atas katil sepenuh masa. Aku mula mengalami sakit perut yang lebih teruk dari senggugut, dan aku pasrah dengan ketentuannya. Sahlah aku mengalami keguguran. Sepanjang hari kumenangis, tidak bergerak dari atas katil. Mulalah hatiku “berkalau-kalau”, “kalaulah aku tidak terlalu lasak”, dan sebagainya, hinggalah suamiku memujukku, agar redha dengan ketentuanNya.
Aku melalui dua bulan yang seterusnya merawat luka di hati.Setiap kali kumelihat bayi atau anak kecil, hatiku menangisi pemergian bayi kami yang telah dua tahun dinanti. Kadang kala airmataku gugur jua. Kucuba memenuhkan masa lapangku dengan akviti-aktiviti seperti usrah, kelas tafsir, kelas aerobik dan renang.
Tatkala Ramadhan menjelang, aku dan suamiku tidak putus-putus berdoa agar dikurniakan cahaya mata. Pernah sekali kukatakan pada suamiku, jika nyawa menjadi galang ganti, aku sanggup berkorban asalkan aku dapat melahirkan seorang zuriat buat suamiku. Suamiku pasti marah setiap kali kulafazkan kata-kata itu. Katanya dia sudah amat bersyukur memilikiku, seorang anak hanyalah bonus baginya. Kami lipatgandakan solat hajat dan beribadah, dengan harapan ia menjadi wasilah doa kami. Pernah suamiku berkata, jika kami dikurniakan seorang anak lelaki, akan dinamakan dia Ahmad Ramadhan. Lucu juga bila dikenang kembali.
Allah Maha Kuasa, sesungguhnya manusia merancang, tetapi perancangan Allahlah yang lebih sempurna. Rahmat dan kasih sayang Allah itu sembilan puluh sembilan kali lebih banyak dari semua kasih sayang makhluk di dunia ini. Segala puji bagiNya, aku hamil buat kali kedua, dua bulan selepas aku keguguran. Lucunya, suatu hari, tiga hari sebelum haidku dijangka tiba, aku bangun dari tidur dan berkata, “mm.. I think I’m pregnant”. Terus saja aku membuat ujian kehamilan, dan alhamdulillah ternyata ia positif. Ketika itu suamiku bertugas di luar kota, tetapi dia berulang untuk pulang setiap hari. Terus saja aku menghantar sms kepadanya, dan memintanya pulang kerana aku ada kejutan buatnya. Biasanya suamiku pulang jam 9 malam, tetapi hari itu kerana terlalu ingin tahu, suamiku pulang awal. Aku sedang bersolat Asar ketika dia pulang, dan dia menemui ujian kehamilan yang kutinggalkan di atas meja. Selesai sahaja solat, dia terus memelukku dan menyatakan kesyukurannya. Maha Pengasih Allah kepada hambaNya, tiada yang dapat menandinginya. Tatkala kita bersedih, Dia menguji bagaimana kita bersabar, tatkala kita bergembira, Dia menguji bagaimana kita bersyukur kepadaNya. Kurasa itulah saat paling membahagiakan selepas hari kami diijabkabulkan.
Bermula dari hari itu, aku melalui hari-hari sebagai bakal ibu. Aku lebih berhati-hati dalam berbuat kerja rumah, berhenti melakukan semua senaman yang lasak dan menjaga pemakananku. Ketika usia kandungan enam minggu lagi aku sudah berjumpa Pakar Sakit Puan dan Kandungan, Dr Yuri Karmila bagi memastikan kehamilanku berjalan lancar. Ketika itu Doktor Yuri mengatakan janin kami masih terlalu kecil untuk dia mengesahkan kehamilanku akan berjalan dengan baik. Ultrasound ketika itu menunjukkan saiz karung kehamilan atau gestational sac dalam rahimku bersesuaian dengan usia kehamilan. Alhamdulillah dua minggu kemudian, kami dapat melihat degup jantung janin kami. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan Pencipta Alam Semesta.
Pada minggu ke sembilan, aku mengalami sedikit pendarahan selepas pulang dari rumah teman suamiku. Ketika itu terasa bak telur di hujung tanduk, semalaman kami tidak tidur menunggu pagi, untuk bertemu Doktor Yuri. Kami hanya mendapat temujanji dengan Doktor Yuri pada pukul 7 petang, dan sepanjang siang itu kami tidak putus-putus berdoa. Mujurlah pendarahan itu hanya sedikit, dan menjelang petang tiada lagi pendarahan berlaku. Ultrasound menunjukkan degupan jantung janin kami masih kuat, dan aku diberi ubat untuk menguatkan rahim dan Doktor Yuri menasihatiku agar berehat sepenuhnya selama tiga hari. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan aku tidak mengalami apa-apa pendarahan lagi.
Ketika kandunganku mencecah enam minggu, aku mulai mengalami alahan atau “morning sickness”. Semakin hari ia semakin teruk, hingga Mama, Ayah dan adikku datang dari Malaysia untuk menziarahiku. Ada kalanya aku tidak boleh bangun langsung dari katil dek kerana mual yang teramat sangat. Yang paling aku alah adalah bau peti sejuk dan bau dapur. Puas suamiku membersihkan peti sejuk dan dapur, tapi aku tetap muntah setiap kali suamiku membuka peti sejuk untuk mengambil sesuatu, atau jika pintu dapur terbuka. Kadang kala terasa tertekan juga mengalami mual yang teruk, tetapi apabila aku membaca sebuah journal yang mengatakan morning sickness selalunya dikaitkan dengan janin yang lebih sihat, aku jadi tenang kembali.
Alhamdulillah aku amat bertuah memiliki seorang suami yang amat penyayang. Setiap pagi dia akan menanti aku bangun dari tidur, dan dia akan menghidangkan sarapan buatku di atas katil, ala “breakfast-in-bed”. Walaupun aku selalu mual-mual, namun aku sentiasa menggagahkan diriku untuk makan apabila mampu, kerana aku tahu janin yang sedang berkembang di dalam rahimku amat bergantung dengan nutrisi yang kuambil. Oleh kerana aku tidak mampu memasak, suamiku terpaksa membeli makanan di luar setiap hari. Kadang kala, aku akan muntah sebaik sahaja selesai makan makanan yang suamiku belikan. Kasihan aku melihat suamiku, tetapi tidak pernah sekalipun suamiku memarahiku. Peliknya ketika aku morning sickness ini, aku mengidam burger, hingga hampir setiap hari suamiku harus membelikannya untukku. Kalau hari hujan, kami akan menelefon restoran untuk pesanan dan penghantaran. Alhamdulillah alahanku berakhir pada minggu ke dua belas.
Dengan kuasaNya, suamiku selesai jua pengajiannya pada 13 Februari 2006, dengan keputusan yang cemerlang. Kami pulang ke Malaysia lima hari selepas majlis graduasi suamiku, bersama segulung ijazah, gelaran doktor dan seorang bayi yang bakal menyerikan rumah tangga kami. Segala berjalan lancar selepas kepulangan kami ke Malaysia, dan kami memutuskan untuk tinggal bersama mertuaku buat sementara, atas permintaan mereka. Walaupun aku harus berulang setiap hari dari rumah mertua kami di Gombak ke UiTM Shah Alam, mujurlah tiada apa yang berlaku. Suamiku mula melapor diri untuk bertugas di Hospital Selayang pada 17 April 2006.
Pertama kali kami menjalani pemeriksaan kehamilan di Malaysia adalah ketika kandunganku mencecah 20 minggu. Pada mulanya pening juga memilih Pakar Sakit Puan dan Perbidanan yang sesuai. Namun atas nasihat Mamaku, aku memilih untuk berjumpa Dr Hamid Arshat, yang pernah menyambut kelahiran salah seorang abangku. Tambahan pula kami masih ada bau-bau bacang. Alhamdulillah pemeriksaan ketika itu menunjukkan kehamilanku berjalan lancar, dan ultrasound menunjukkan kami bakal menimang seorang puteri. Pada mulanya terkejut juga aku mendengarnya, kerana aku mempunyai lima orang abang, dan suamiku juga dari keluarga yang lebih ramai lelaki. Tambahan pula aku dapat merasakan bayiku sangat aktif, sejak usia tiga bulan dalam kandungan lagi sudah dapat kurasakan pergerakannya. Namun, aku dan suamiku amat gembira dan bersyukur bakal menimang seorang puteri, yang pasti akan kami jaga bagai menatang minyak yang penuh. Malah, seminggu selepas ultrasound itu, aku, suamiku dan ibu mertuaku pergi membeli belah barang-barang keperluan bayi, dan hampir semua pakaian yang kami beli berwarna beli berwarna merah jambu.
Ketika kandunganku mencecah 36 minggu, aku mula mengambil cuti. Semuanya atas budi baik Timbalan Dekan Fakulti Perubatan, Dato’ Khairul Anuar yang sering menasihatiku untuk pulang, sejak usia kandunganku 32 minggu lagi. Katanya aku harus banyak berehat memandangkan ini kandungan anak sulungku, dan aku harus memandu sendirian selama berjam-jam setiap hari. Semoga Allah memberi ganjaran yang setimpal buatnya.
Ketika kandunganku mencecah 37 minggu, kami berpindah ke kondo yang kami sewa, kerana mertuaku akan berpindah ke Semenyih setelah bapa mertuaku dinaikkan pangkat. Adik iparkulah yang banyak menolongku mengemas rumah dan memindahkan barang-barang. Memandangkan tarikh aku dijangka bersalin adalah 22 Julai 2006, aku dan suamiku memutuskan untuk memindahkan semua barang-barang pada 9 Julai.
Namun, rupanya anakku tak sabar nak melihat dunia, dan menatap wajah Ummi dan Abinya. Pada pukul 10.30 pagi 5 Julai, aku mulai keluar tanda darah bercampur lendir. Ketika itu aku di rumah mertuaku bersama adik iparku, yang sedang sibuk mengemas barang-barang untuk berpindah. Mujurlah dia tenang sahaja ketika aku memberitahunya tentang tandaku tadi. Aku tidak mahu memberitahu suamiku terlalu awal, kerana aku dapat merasakan bahawa perjalananku masih jauh, kerana aku belum mengalami contraction. Namun apabila suamiku menelefonku tengahari itu, kusampaikan jua padanya, dan memintanya supaya jangan panik. Pada mulanya suamiku mahu pulang ketika itu juga, tetapi aku menasihatinya agar tidak usah pulang, tetapi memohon cuti kecemasan esok.
Sekitar pukul 3 petang aku mulai mengalami contraction yang tidak kerap. Aku mencatat waktu setiap contraction dengan teliti. Kutelefon Mamaku di kampung, meminta nasihat darinya. Mama menasihatkan untuk aku terus ke hospital, tetapi aku enggan kerana merasakan tidak mungkin aku akan bersalin hari ini. Apabila ibu mertuaku pulang, dia terus saja bertanya, “ Aisyah belum ada rasa nak bersalin ke? Sepanjang hari Ibu tak sedap hati.” Apabila kuceritakan tentang tandaku, reaksinya sama seperti Mamaku, agar aku ke hospital segera. Namun, jawapan yang sama kuberikan, aku belum merasakan contraction yang kuat, dan mungkin masih lama untukku bersalin.
Sepanjang malam seisi rumah risau dengan keadaanku, sedangkan aku dan suamiku masih tenang. Contraction ku masih tidak kerap dan tidak sakit, kecuali sekali pada pukul 5 pagi. Pukul 8 pagi aku mengajak suamiku dan adik iparku untuk bersarapan di Bandar Baru Selayang, dan kemudiannya ke Mydin untuk membeli barang-barang keperluan rumah baru kami. Selesai sarapan, kami pulang ke rumah mertua dahulu sebelum ke Mydin. Suamiku meminta aku menelefon staf di klinik Pakar Sakit Puan dan Perbidananku iaitu Doktor Hamid Arshat untuk meminta nasihat. Sister Umi yang menjawab telefon menasihatiku untuk ke Pusat Perubatan Pantai untuk membuat pemeriksaan memandangkan aku sudah keluar tanda sejak semalam dan kandunganku sudah 37 minggu 6 hari. Memandangkan contractionku masih juga belum kerap, aku memutuskan untuk ke rumah sewa kami untuk mengemas dan kemudian ke Mydin untuk membeli belah, dan mungkin ke hospital selepas Zuhur.
Kami tiba di kondo kami kira-kira jam 11.30pagi. Ketika menunggu lif di kondo, aku mula merasa contraction yang agak kuat, lalu aku mencatat waktu contraction itu. Sampai di kondo, aku mula mengemas dan menggantung langsir. Ketika itu aku mula menyedari contractionku datang setiap sepuluh minit, dan tahulah aku sudah tiba masanya untuk ke hospital. Suamiku menelefon ibu mertuaku, yang kemudiannya pulang dari pejabat, untuk sama-sama menemaniku ke hospital. Maklumlah, cucu sulung, pasti cemas menanti kelahirannya.
Dalam perjalanan ke hospital, contractionku semakin kerap dan semakin sakit. Aku sempat menelefon Mamaku di kampung, memohon doa restu dan memohon maaf. Menurut Mamaku, kalaulah dia punya sayap, pasti Mama sudah terbang ke Kuala Lumpur untuk menemaniku. Tetapi apakan daya ayahku bekerja, dan hanya boleh mengambil cuti pada hari Sabtu. Mama berjanji untuk datang melawatku keesokkan hari, selepas ayahku pulang dari kerja.
Aku, suamiku, ibu mertuaku dan adik iparku tiba di Pusat Perubatan Pantai jam 12.50 tengahari. Sementara suamiku dan adik iparku menyelesaikan pendaftaran masuk, aku diperiksa oleh jururawat yang bertugas di bilik bersalin, dengan ditemani ibu mertuaku. Alhamdulillah laluan sudah terbuka 3cm dan karung air mentuban sudah hampir pecah. Selepas diberi makan tengahari dan enema, aku diminta berehat.
Contractionku semakin kerap, hingga mencecah sekali setiap 2 minit. Jururawat bertugas memberitahuku selalunya ia menandakan aku akan bersalin tidak lama lagi. Salah seorang sahabat suamiku menelefon bertanya khabarku dan memberitahu suamiku agar membacakan surah Maryam agar dipermudahkan proses persalinanku nanti. Aku sempat tertidur sambil mendengar bacaan Al-Quran dari suamiku. Aku terjaga kira-kira jam 3 petang, dan Alhamdulillah sakitku mula berkurangan.
Dari jam 3 hingga pkl 7 malam, sakitku berkurangan hingga hanya sekali setiap lima minit. Hati kecilku terdetik, mungkin kedudukan bayiku tidak betul, menyebabkan persalinanku berpanjangan walaupun laluan sudah 3cm terbuka sejak pukul 1 tengahari tadi. Sepatutnya, jika laluan terus buka 1cm setiap 1 jam, sepatutnya laluan bayiku sudah membuka 9 hingga 10cm, contraction ku semakin kuat dan aku sudah hampir melahirkan. Tetapi, tiada kemajuan sejak tengahari tadi. Tambahan pula aku dapat merasakan kaki bayiku asyik menendang-nendang CTG yang terpasang di perutku.
Selesai solat maghrib, aku menghubungi Dr Hamid Arshat bertanya tentang kemajuan proses persalinanku. Dr Hamid menasihati kami agar bersabar, kerana selalunya bersalin anak sulung memang lebih lama daripada yang kedua dan seterusnya. Aku dan suamiku memutuskan untuk meminta ubat untuk mempercepatkan aku bersalin kerana aku sudah keluar tanda sejak semalam. Dr Hamid mencadangkan ubat-ubatan yang boleh digunakan. Lucunya suamiku, sambil menemaniku, sempat membuka buku perubatan dan memilih ubat yang sesuai untukku.
Pukul 9 malam, aku mula diberikan ubat melalui drip. Ibu mertuaku yang pulang sebentar petang tadi, sudahpun kembali ke sisiku, untuk sama-sama menemaniku. Aku mulai merasakan sakit yang agak kuat, dan ia semakin kerap, kira-kira sekali setiap 3 minit. Kira-kira jam 11, sakitku semakin kuat hingga aku terpaksa meminta pethidine untuk mengurangkan rasa sakit. Yang lebih menyiksakan adalah rasa sakit di belakang dan pinggangku, lebih daripada sakit di rahimku.
Sebelum jururawat dapat memberikan pethidine kepadaku, aku harus diperiksa lagi. Kebetulan ketika itu Dr Hamid Arshat datang untuk melihat keadaanku dan seorang lagi pesakitnya yang juga berada di wad bersalin itu, jadi dialah yang memeriksaku. Alhamdulillah laluan sudah terbuka 5 hingga 6cm, lalu air ketubanku dipecahkan untuk mempercepat lagi proses persalinanku. Malangnya kebimbanganku ternyata benar, kedudukan bayiku kurang sesuai untuk keluar, iaitu mukanya menghadap ke atas, atau occipitoposterior, berbanding kedudukan normal bayi iaitu muka menghadap ke bawah. Doktor Hamid Arshat menjangkakan aku akan bersalin sekitar jam 4 pagi, memandangkan bayiku harus berpusing menghadap ke bawah sebelum aku boleh bersalin.
Selepas air ketuban pecah, sakitku semakin kuat. Ada ketikanya aku merasakan nyawaku bak di hujung tanduk. Alhamdulillah pethidine yang diberikan dapat menenangkanku, dan aku menggunakan gas ethonox untuk mengurangkan rasa sakit. Secara jujur kukatakan, gas itu tidak mampu mengurangkan rasa sakit, namun ia membuatku sedikit khayal, hingga kadang-kala aku “terlupa” aku sedang sakit hendak bersalin. Sepanjang aku bergelut dengan kesakitan itu, suamiku dan ibu mertuaku setia berada di sisiku. Ibu mertuaku tidak henti-henti mengurut belakangku dengan minyak angin, manakala suamiku membacakan surah Yassin atas permintaanku.
Kira-kira jam 11.45 malam, dalam keadaanku baring mengiring, tiba-tiba aku terasa bayiku turun ke laluan untuk melahirkan, dan aku merasa hendak meneran. Kulawan rasa khayalku dan memberitahu suamiku yang aku hendak meneran. Cepat-cepat suamiku memberitahuku supaya jangan meneran kerana belum masanya. Sempat kami berkelahi kerananya, suamiku menghalang aku meneran, sedangkan aku sudah tidak tertahan lagi. Salah seorang jururawat bertugas masuk ke bilikku kerana terdengar kekecohan kami berkelahi, lalu bertanya apa masalahnya. Apabila suamiku mengadu kepada jururawat, diapun memintaku mengubah posisi agar dia boleh memeriksaku. Terkejut besar jururawat dan suamiku apabila melihat kepala bayi sudah hampir keluar, atau sedang “crowning”. Kelam kabut jururawat menyiapkan peralatan dan memanggil Dr Hamid yang dalam perjalanan keluar dari wad untuk pulang.
Sementara mereka menyiapkan peralatan, ada suatu ketika jururawat terpaksa meninggalkanku dan suamiku di bilik bersalin itu. Antara sedar dan tidak dek kerana terlalu banyak gas ethonox yang kusedut, aku terdengar suamiku marah-marah,” mana pula nurse ni, kepala baby dah nampak tu. Karang aku pulak yang kena sambut baby ni.” Hampir tergelak aku dalam menahan kesakitan itu.
Apabila Dr Hamid tiba, jururawat pun membetulkan posisiku agar mudah untuk bersalin, dan mengambil tube gas ethonox dariku, walaupun aku berkeras mahu memegang tube itu, kerana takut sakit. Dalam khayal, aku sempat bertanya suamiku pukul berapa waktu itu. Apabila suamiku menjawab “11.58malam,” sempat aku berkata,” alah, belum 7/7/06.” Kemudian, aku khayal lagi, dan apabila aku tersedar kembali, rupanya aku sedang meneran dan semua orang sedang memberi semangat kepadaku. Alhamdulillah setelah dua kali teran, aku merasa sakit yang amat sangat di laluan bayi, dan seketika kemudian terdengarlah tangisan bayi kami yang pertama.
Sebaik sahaja bayiku keluar melihat dunia, Dr Hamid terus sahaja qamat di telinga kecilnya. Apabila bayiku diletakkan di atas dadaku, dan aku melihatnya buat pertama kali, air mataku deras mengalir sayu. Sambil teresak-esak, kumemanggil bayiku, “ anak Ummi..anak Ummi”. Maha Suci Allah, sungguh cantik bayiku, putih melepak, berambut lebat dan bermata sepet seperti cina. Beratnya 3.24kg dan panjangnya 47cm. Subhanallah..
Seketika kemudian bayiku diambil untuk dibersihkan dan diselimutkan, sementara Dr Hamid menunggu uriku keluar. Selesai dibersihkan,suamiku mendukung bayi kami, yang ketika itu tidak menangis lagi. Matanya terbuka, melihat kiri dan kanan, manakala mulutnya bergerak-gerak melihatkan lesung pipit di pipi kirinya, macam ibu mertuaku. Suamiku mengucup dahiku, dan kulihat wajahnya terharu memandang wajah puteri kami yang comel itu.
Oleh kerana bayi kami lahir pada pukul 11.59malam, Dr Hamid bertanya suamiku sama ada mahu tarikh lahir bayi kami 6/7 atau 7/7, lalu kami pilih 7/7/06, dan didaftarkan puteri kami lahir 12.01malam. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, suamiku turut tidur bersama di hospital, walaupun terpaksa tidur di kerusi. Aku pulang ke rumah bersama puteri hati kami keesokkan harinya.
Setiap kali kutatap wajah comel puteriku ini, hatiku luluh dengan hangatnya kasih sayangku padanya. Tiada kebahagiaan yang setanding dengan rasa bahagia menyentuh jari-jemari dan mengucup pipi montel seorang cahaya mata. Segala puji dan pujaku hanya pada Allah, yang menganugerahkan kebahagiaan ini padaku dan suamiku.
Kini puteri kami, Fatimah Yasmin binti Mohd Hafiz sudah berusia 10 minggu. Kuat menyusu dan sudah montel, hingga terpaksa memakai baju untuk bayi 3-6 bulan. Semoga dia membesar menjadi anak yang sihat, pintar dan solehah.
Buat puteri di hati Ummi dan Abi, engkaulah anugerah terbesar dari Allah kepada kami. Mekarlah dikau di singgahsana hati kami, dan mengharum dalam hidup kami, bak yasmin yang berkembang indah di pagi hari.