here's another short story, this time it's dedicated to our second princess, Safiah Wardina
Dugaan anak kedua
Aku dan suamiku bernikah pada usia muda, ketika 22 tahun. Ketika itu kami masih menuntut di universiti dalam bidang perubatan di dua buah negara yang berbeza. Selepas bernikah kami tinggal berjauhan selama dua tahun. Aku disahkan menghidap endometriosis iaitu penyakit tisu rahim di luar rahim semasa aku berusia 24 tahun & doktor kuatir aku mungkin menghadapi masalah untuk hamil. Aku juga terpaksa menjalani pembedahan untuk memulihkan penyakit itu. Setahun selepas pembedahan itu aku hamil tetapi keguguran ketika kandungan berusia 5 minggu. Allah saja yang tahu betapa sedihnya hati kami. Saban hari aku meratapi pemergian zuriat yang telah lama kami nanti-nantikan itu.
Namun Alhamdulillah ketika usia penikahan kami menganjak tiga tahun kami dianugerahkan seorang puteri yang sihat & comel, yang diberi nama Fatimah Yasmin. Aku tidak pernah menyangka akan hamil lagi dengan mudah, tetapi ternyata Allah ada perancanganNya sendiri. Aku hamil lagi ketika puteriku berusia 5 bulan. Suamiku juga terkejut bila aku disahkan hamil lagi kerana aku masih menyusui anakku sepenuh masa.
Berbanding kehamilanku dengan Fatimah yang tiada masalah sama sekali, kehamilanku kali ini penuh dengan dugaan. Ketika kandungan enam minggu, aku mengalami pendarahan yang berterusan hingga kandungan genap tiga bulan. Ketika kandungan lapan minggu, doktor mencadangkan agar aku menjalani D&C untuk mencuci rahim sahaja kerana beliau tidak pasti sama ada kandunganku dapat diselamatkan. Mujurlah suamiku berkeras untuk aku tidak menjalani prosedur itu. Alhamdulillah ketika kandungan berusia sembilan minggu, degup jantung anakku sudah kelihatan semasa imbasan dijalankan. Mulai saat itu aku harus menerima suntikan untuk menguatkan rahimku seminggu sekali, beserta pil hormon setiap hari untuk membantu kehamilanku sehinggalah kandunganku berusia lima bulan.
Alhamdulillah ketika usia kandungan tiga bulan, aku dapat bertukar dari Jabatan Obstetrik & Ginekologi yang sibuk, ke Jabatan Perubatan yang lebih banyak masa lapang. Disebabkan oleh pendarahan & ancaman keguguran (threatened miscarriage) yang kualami, aku dikecualikan daripada tugas atas panggilan (oncall) selama beberapa bulan. Namun ketika kandungan berusia 7 bulan sekali lagi dugaan menimpa. Aku mengalami pendarahan sekali lagi, tetapi doktor mengesahkan kandungan aku selamat.
Saban hari tugasku di hospital semakin mencabar & memenatkan, ditambah pula dengan anak sulungku yang masih kecil & memerlukan perhatianku di rumah. Ketika aku hamil 8 bulan, aku mula mengalami kontraksi pramatang sehingga terpaksa dimasukkan ke wad. Aku diberi suntikan untuk menghentikan kontraksi & suntikan untuk mematangkan paru-paru bayiku, sekiranya bayiku terpaksa dilahirkan awal. Ketika itu doktor menganggarkan bayiku adalah seberat 1.6kg sahaja.
Mulai saat itu aku terpaksa bercuti di rumah sehingga bersalin kerana apabila aku banyak bergerak, kontraksi akan berlaku & ini membahayakan kandunganku. Kasihan anak sulungku kerana aku tidak boleh mendukungnya, dan aku terpaksa membiarkan dia tidur dengan pengasuhnya kerana aku perlu istirehat secukupnya bagi memastikan bayi dalam kandunganku dapat membesar dengan sempurna. Aku juga menjalani pemeriksaan dengan doktor pakar setiap minggu bagi memantau perkembangan kandunganku.
Kandungan normal selalunya berlangsung selama 37 hingga 42 minggu. Namun ketika usia kandunganku genap 36 minggu, aku mula mengalami kontraksi yang kerap. Pemeriksaan dengan doktor pakar mendapati jalan lahirku sudah buka 3cm, namun oleh kerana aku tidak merasakan kontraksi yang kuat & rumahku berdekatan dgn hospital, kami memutuskan untuk pulang ke rumah dahulu.
Aku bertahan selama 3 hari dalam fasa bersalin tidak aktif. Memandangkan suamiku juga doktor, jadi aku tidak risau untuk tinggal di rumah. Pada petang 19 Ogos 2007, aku mula merasakan sakit yang kerap, setiap 5 minit sekali namun aku belum juga mahu ke hospital. Apabila sakit semakin kuat kira-kira jam 11 malam, barulah kami bersiap untuk ke hospital. Sebelum ke hospital, sempat kami memesan pizza & menonton perlawanan bola sepak kelab kesayanganku. Lucu juga bila dikenangkan.
Kami tiba di hospital pada jam 1 pagi, dan ketika itu jalan lahirku masih juga 3cm. Sepanjang malam kontraksiku berkurangan & aku dapat tidur selama dua jam. Kasihan suamiku yang tidak tidur langsung menjagaku. Allah saja yang dapat membalas budi baiknya padaku.
Pukul 8 pagi, jururawat memeriksaku dan jalan lahir masih lagi 3cm. Aku mula merasa sedikit kecewa kerana aku kira proses kelahiran anak kedua akan lebih cepat berbanding anak sulung yang mengambil masa kurang dari 12 jam. Doktor memulakan drip untuk mempercepatkan kelahiran. Sakitku semakin kuat tetapi ketika aku diperiksa pada jam 11pagi, masih lagi 3cm. Aku & suamiku mula bimbang, takut-takut aku harus dibedah sekiranya jalan lahirku tidak buka. Alhamdulillah jantung bayi kami masih kuat. Aku meminta ampun dari suamiku & memintanya membacakan Surah Maryam disisiku. Sepanjang waktu aku sakit, aku masih mampu solat sambil duduk. Doaku mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusanku.
Pada jam 2.30 petang, doktor datang untuk memeriksaku dan memecahkan air ketubanku. Ketika itu jalan lahir hanya 4cm. Kalau mengikut teori perubatan, jalan lahir akan buka 1cm setiap 1 jam, maka kami berharap bayi kami akan lahir selewat-lewatnya 6 jam lagi. Tetapi dari saat air ketubanku pecah, aku berasa sakit yang teramat sangat sehingga terpaksa menghirup gas Ethonox untuk mengurangkan sakit, setelah suntikan Pethidine tidak mampu mengurangkan kesakitan. Tepat jam 3 petang, aku terasa ingin meneran & apabila jururawat memeriksaku, jalan lahirku sudah 9cm!
Oleh kerana aku berada di hospital swasta, doktorku tidak sentiasa berada di kawasan hospital.Jururawat terpaksa menelefon doktorku, dan aku pula terpaksa menahan untuk tidak meneran bayiku keluar. Alhamdulillah 15 minit kemudian doktorku tiba & dengan sekali teran sahaja, puteri kedua kami, Safiah Wardina lahir ke dunia ini. Beratnya hanya 2.75kg berbanding kakaknya 3.24kg, kerana dia tidak cukup bulan. Namun Alhamdulillah anakku sihat & comel persis kakaknya. Suamiku mengazan & mengiqamahkan anak kami di sisiku, dan selepas itu aku terus menyusukan puteri kami itu. Kami pulang ke rumah selepas dua hari di hospital.
Sekarang anakku sudah berusia sebulan, beratnya juga sudah mencecah 4kg. Kakak yang sudah 15 bulan juga amat sayang pada adiknya. Aku juga sudah belajar dari kesilapanku, kehamilan yang terlalu rapat menyebabkan rahimku belum pulih sepenuhnya & mengakibatkan semua komplikasi semasa kehamilan & kelahiran anakku yang kedua yang pramatang. Selepas ini aku akan mengamalkan perancangan keluarga, dan mungkin menunggu 2-3 tahun sebelum hamil lagi, agar aku dapat menyusui anakku secara eksklusif.
Wardina at 3 months of age
~ The four of us during Safiah Wardina's Aqiqah when she was 7 months old~
No comments:
Post a Comment