Thursday, April 14, 2011

My other half


Kenapa agaknya orang Inggeris menggelarkan suami atau isteri mereka "sebahagian diriku yang lain" atau "my other half?" .... sehingga hari ini, selepas lapan tahun bergelar isteri kepada suamiku, baru diriku benar-benar memahami apa erti kata- kata itu.

Hari ini suamiku berlepas ke Perth, Australia sebagai insentif pelancongan daripada syarikat pemasaran rangkaian atau network marketing yang kami sertai lebih tiga tahun yang lepas. Alhamdulillah ini adalah trip melancong yang ke sembilan bagi kami selepas Korea, Paris, Sydney, Tokyo, Beijing, Mekah, Switzerland dan Bandung, Indonesia.

Kali terakhir kami terpisah sebegini adalah semasa beliau ke Tokyo pada tahun 2009, kerana ketika aku sedang sarat hamil dengan putera kami. Namun ketika itu, anak-anakku belum ke sekolah dan tidak terlalu sukar untuk kuuruskan urusan di rumah kerana mereka hanya tinggal di rumah sepanjang hari.

Jika sebelum ini urusan menghantar dan menjemput anak sulungku Fatimah ke sekolah, sepenuhnya diuruskan oleh suamiku, kerana Smart Reader yang dihadirinya hanyalah 1km dari klinik tempat beliau bertugas, hari ini tugas itu terpaksa kuambil alih. Kebiasaannya aku bertolak dari rumah di Ampang pada jam 7.30 pagi, aku tiba di PJ di hospital tempatku bertugas pada jam 8.20 pagi.

Hari ini aku terpaksa bertolak awal pagi untuk ke Setapak, menghantar puteri sulungku, kemudian meneruskan perjalanan melalui MRR2 dan DUKE, melepasi Mont Kiara untuk ke Petaling Jaya. Aku tiba di hospital satu jam setengah selepas bertolak dari rumah. Selepas bertugas di klinik, pada jam 1 tengah hari aku terpaksa bergegas untuk ke Setapak untuk menjemput puteri sulungku itu. Tiba sahaja di sekolahnya, waktu sudah hampir jam 2 petang, dan anakku sudah terlalu letih. Akibatnya Fatimah merajuk sepanjang jalan, dan mengamuk mahukan coklat selama sejam setibanya di rumah. Sudah kubelikan coklat yang dimahukan, cuma dia tidak mahu berkongsi dengan adik-adiknya.

Baru seharian mengendalikan anak-anak seorang diri, aku sudah keletihan. Baru kuterasa betapa bertuahnya diriku kerana memiliki seorang suami yang sangat penyayang terhadapku dan anak-anakku, dan sanggup berbahagi tugas mengendalikan urusan rumah tangga, dalam kesibukan menjalankan tugasnya sebagai seorang doktor dan usahawan berjaya.

Cepat pulang, ya sayang... Hidupku tidak sempurna tanpamu. Kaulah sebahagian dari diriku...


No comments:

Post a Comment