Satu pagi, dalam keadaan letih aku memandu kereta ke hospital, dengan hati yang berat meninggalkan tiga orang buah hatiku di rumah, kerana aku oncall lagi. Aku cuba ikhlaskan hati, tetapi kadang kala terasa amat berharap aku tidak perlu tidur di hospital lagi, kerana aku sudah menjalankan oncall setiap minggu. Tambahan pula kebelakangan ini oncallku sering saja sibuk.
Sampai sahaja aku di tempat letak kereta, aku ternampak satu pasangan yang amat tua, kalau kuagak, usia mereka pasti lebih dari 80 tahun. Mereka berjalan perlahan-lahan sambil berpegangan tangan, menuju ke klinik rawatan. Hatiku tersentuh kerana melihat kesetiaan dan kasih sayang mereka. Hampir menitik airmataku, sambil kuberdoa agar jodohku dengan suamiku yang tercinta akan berkekalan sehingga ke syurga.
Setiap kali aku mahu pulang, aku akan melalui Jabatan Radiologi, yang mana ramai pesakit sering beratur untuk mendapatkan x-ray, CT scan dan sebagainya. Ada yang duduk, ada yang terbaring, ada yang ditolak dengan kerusi roda, ada yang bertongkat. Di sisi pesakit biasanya akan ada kakitangan Radiologi yang sedang menerangkan tentang prosedur yang bakal pesakit itu jalani, dengan penuh lemah lembut dan bersabar.
Aku bersyukur kerana dengan bertugas di hospital, aku dapat mengingatkan aku betapa mulianya tugas mereka yang sentiasa bertungkus lumus dan bersedia membantu mereka yang memerlukan, ketika mereka sakit. Dari jururawat, atenden, staf farmasi hinggalah ke doktor-doktor yang kulihat sentiasa mengikhlaskan hati untuk bertugas, walaupun amat jarang mendapat penghargaan. Kalau dinilai dari gaji, memanglah tidak seberapa tetapi kuyakin pahala dan ganjaran dari Ilahi amatlah besar.
Ia juga mengingatkan aku supaya sentiasa bersedia 5 perkara sebelum 5
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Sihat sebelum sakit
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati
Biarlah kita menyediakan apa yang sewajarnya kita sediakan dalam hidup kita yang amat pendek ini.
Suatu hari nanti kita juga akan tua, sakit dan mati...
Layanilah orang lain sebagaimana kita mahu dilayani, apabila kita tua dan sakit nanti...
Aku juga sering belajar dari pesakit-pesakitku, agar kita bersyukur dengan apa yang kita ada, kerana tatkala Allah ingin menarik balik nikmat itu, tiada apa yang kita boleh lakukan. Contohnya, pesakit muda yang menghidap penyakit saraf mata, yang secara tiba-tiba hilang penglihatannya, seperti yang pernah kuceritakan dalam entri yang lalu. Sangat menginsafkan...
Peringatan buat diriku sendiri..
Moga ada yang mendapat manfaat darinya...
No comments:
Post a Comment